GABUNGAN
PELAJAR-PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG
RESEPI : MASAKAN INSAN
KAMIL.
Bahan-Bahan
- Sepeluk tubuh daging muda
- Setengah kati otak cucu Adam
- 211 kerat tulang
- Sedulang kulit insane
- Satu kawah darah gemuruh
- Enam kawah air iman
- Satu kolah besar besar air jiwa dimanis
- Tujuh helai daun sabri Wali
- Satu kawah minyak malaikat
- Tujuh ruas Taqua jati
- Sejuta talam daun amal salih
- Empatpuluh camca besar serbuk kebangsaan tulin
- Satu tempayan besar pati perjuangan
- 365 kelopak besar bunga dedikasi
- Enam pelepah daun insaf
- Enam pelepah daun sedar
- Sebuah bahtera lomba
- 365 batang Pengayoh
- Dua belas lori pati buah rajin
- Tujuh depa kayu manis hidup
- Tujuh hasta batang wali pahit
- Tujuh camca besar serbuk akhlak mulia
- Satu camca kecil omong-omong kosong
- 365 ulas bawang gigih
- Satu tin besar kepala santan asmara
- Sepeluk tubuh nafsu Hawa
- Setitik air baka Adam
- Satu kolah air semangat koperasi
- Sekepal nasi berani
- Sebuah lautan air ilmu
- Serbuk korban sedaya upaya
- Garam hidup secukup rasa
- Serbuk perasa sekehandak hati
Cara menyediakannya:
Bersihkan daging baik-baik dalam air iman. Buangkan
lender-lendir hasad, dengki, tamak, haloba, khianat dan pemalas. Cabut semua
bulu sifat ‘tidak apa’. Kikis perlahan-lahan nafsu haiwan, jika ada. Balutkan
daging di atas tulang supaya terlindung, tetapi jangan balutkan daging di
tempat yang berdekatan dengan betis, supaya ia tinggal menjadi tulang kering.
Sadurkan daging itu dengan kulit insane.
Daun sedar, daun insaf, daun sabar dan tujuh ruas
taqua digiling lumat-lumat. Kemudian masukkan serbuk akhlak. Jika terlampau
kering masukkan sedikit air iman. Tumiskan semuanya dalam minyak malaikan
sehingga menguning. Ketika mumbu itu masih panas masukkan semuanya ke dalam
otak cucu Adam. Jangan sekali-kali masukkan ketika mumbu itu sudah menjadi sejuk.
Masukkan otak cucu Adam itu ke dalam kepala dan
letakkan di bahagian atas daging tadi. Adunkan serbuk semangat kebangsaan
dengan darah gemuruh sehingga sebati. Siramkan darah gemuruh ke dalam daging.
Hembusan nafas ke Islaman kedalamnya supaya ia menjadi insane.
Bahagikan sejuta talam daun amal salih, satu kolah
air dinamis, satu tempayan besar sikap pembangunan, 365 kelopak bunga dedikasi,
satu kolah air semangat koperasi dan sebelas lori pati buah rajin kepada lebih
kruang 60 bahagian (jika mahukan bahagian yang lebih daripada 60, masukkan obat
jasad sihat – tepuk dada Tanya selera). Masukkan satu bahagian sahaja ke dalam
dada insane tadi. Yang bakinya, simpan baik-baik dalam peti sejuk. Letakkan
insane itu diatas bahtera lomba berwap (steam boat).
Letakkan bahtera lomba itu di tepi lautan gelora.
Isikan bahtera itu dengan buah rajin, kayu manis hidup, batang wali pahit,
kulit masam hidup, bawang gigih, dan nasi berani. Berikan kepada insan itu
sebatang pengayuh pada tiap-tiap kali matahari terbit untuk mengayuh bahtera
itu. Sekali-sekala, masukkan nafsu HAwa dengan merenjiskan kepala santan asmara
kedalam acuan yang telah disediakan. (Jangan gunakan acuan lain, sebab ianya
mungkin berkarat, kotor dan merbahaya). Jika dikehendaki, masukkan juga setitik
air baka Adam. Masukkan garam hidup secukup rasa, dan renjiskan air semangat
koperasi, serbuk perasa sekehendak hati dan serbuk korban sedaya upaya.
Hidupkan api supaya ilmu dalam ‘steam boat’ itu
mendidih, berombak dan bergelora. Masukkan bahtera lomba itu kedalamnya. Kaca
perlahan-lahan sehingga Nampak buih-buih di atas ubun-ubunnya. Jika penat
mengacau, rehat sekejap dan ketika itu masukkan setengah camca kecil
omong-omong kosong. Jika masih penat, masukkan sedikit pati buah rajin.
Tunggu sehingga bahtera itu sampai keseberang lautan.
Jika ternampak mana-mana bahtera yang bocor, tolong tampalkan lobangnya.
Lupakan mana-mana bahtera yang karam. Ia akan tenggelam dengan sendirinya.
Hidangan:
Hidangkan masakan ‘Bahtera Lomba Insan Kamil’ ini di
atas pinggan yang beralaskan Dua Kalimah Syahadah, dan dimulakan makan dengan
Bismillah untuk dinikmati oleh orang yang mengakui dirinya orang Melayu yang
tinggal di Malaysia, sebuah Negara yang merdeka, berdaulat, aman dan makmur
yang dihuni oleh masyarakat adil yang berpandukan kepada Rukunegara.
Kolej Kedua, Nik
Abdul Rashid
Universiti Malaya, Tukang
Masak
9hb April 1977
*Catitan:
Bahan-bahan ini boleh dibeli di kedai-kedai yang
berlesen sahaja di seluruh pelusuk tanah air, atau terus pesan kepada mana-mana
satu dari lima buah Pengedar Khas, 4 buah di Kuala Lumpur dan sebuah di Pulau
Pinang. Jangan sekali-kali membeli bahan-bahan ini di kaki lima; takut-takut
kena tiruan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan